Sikap Isteri Yang Suami Perlu Tahu
Seorang isteri bukan sahaja menjadi kunci kebahagiaan dan ketenteraman
jiwa suaminya. Malah ia menjadi kunci kejayaan hidupnya. Kenyataan
bahawa di belakang setiap lelaki yang berjaya itu terdapat seorang
perempuan yang bijak dan berjiwa besar merupakan satu kenyataan yang
lumrah diterima di mana-mana. Si isteri mempunyai serampang mata dua
yang sakti, ia boleh membuat suaminya hidup bersemangat, bercita-cita
tinggi, gigih dan ia boleh membuat suaminya menjadi seorang yang lemah,
patah hati, tidak percaya diri sendiri, pengecut, ragu-ragu dalam
membuat keputusan-keputusan dan bertindak.
Sikap dan perhubungan seorang isteri dengan masyarakat juga merupakan
satu faktor yang menentukan nama baik suaminya di khalayak, kerana
tingkah laku sosial seorang isteri tidak boleh dipisahkan dari nama baik
suaminya.
Dalam kehidupan rumah tangga ada enam isteri yang membawa
kesiksaan-kesiksaan jiwa kepada suaminya sehingga membuat suami itu
tidak bersemangat untuk melaksanakan kejayaan-kejayaan baru dalam
kehidupan.
1. Isteri yang tidak tahu membuat keputusan
Dia seorang isteri yang kaku tanpa inisiatif. Dia hanya tahu
menyelesaikan perkara-perkara mengenai kepentingan-kepentingan diri
setiap hari dan tugas-tugas kecil mengenai hal-hal rumah tangga saja.
Selain dari itu seluruh persoalan hidup yang lain dibebankan ke pundak
suaminya. Dia tidak mahu mengambil keputusan bagaimana hendak menyusun
perabut-perabut rumahnya dengan yang lebih menarik, tidak tahu mengambil
keputusan terhadap kelakuan dan tindak tanduk anak-anaknya, tidak tahu
membuat anggaran rumah tangga yang wajar dan teratur, tidak tahu membuat
sesuatu yang membina terhadap dengan jiran tetangga, sanak saudara dan
kawan temannya, malah ia tidak tahu menentukan barang-barang yang perlu
dibeli untuk kepentingan rumah tangganya, malah kadang-kadang ia tidak
tahu menentukan jenis-jenis masakan yang patut di sediakan hari ini.
Segala-galanya dirujukkan kepada suaminya. Pendeknya dia tidak akan
bertindak melainkan dengan arahan yang jelas dari suaminya.
Suami yang mendapat isteri yang sedemikian terpaksa memikul
beban-beban tambahan yang berat di samping pekerjaan hariannya. Ia
terpaksa memikul beban-beban rumah tangga serentak dengan beban-beban
pejabatnya. Dia selalu saja diganggu oleh pertanyaan-pertanyaan yang
tidak putus-putus dari isterinya bagaimana hendak membuat itu dan ini.
Akibatnya bukan saja membuang waktu suaminya yang berharga malah
menghalangi dari memikirkan sesuatu yang lebih serius dan berguna kepada
kemajuan dan kemajuan hidup.
2. Isteri yang selalu mengomel / berleter
Dia selalu tidak puas hati biar apa pun yang dibuat oleh suaminya.
Dia mengomel, mengeritik, dan mempersenda semua tindak tanduk suaminya.
Segala galanya tidak kena dan ada saja cacat celanya. Suaranya seperti
suara nyamuk yang terus menyerang dan menganggu. Dia tidak segan-segan
memperkatakan kelemahan-kelemahan suaminya kepada orang lain.
Dia seorang yang selalu mementingkan dirinya dan tidak sabar. Dia
mahu segala-galanya cepat, sempurna dan memuaskan. Lebih jauh dari itu
dia begitu lancang membuat pertandingan-pertandingan yang tidak adil
dengan suami-suami orang lain.
Untuk mencari hiburan dan ketenteraman, suaminya lebih suka berlabuh
di kedai-kedai kopi hingga jauh petang dan jauh malam, dan suka
melupakan diri dengan permainan-permainan catur dan daun terup,atau
mencari kedamaian pada perempuan-perempuan yang lain atau pada
minuman-minuman keras.
Seorang suami yang bernasib baik sedemikian tidak lagi mempunyai
kegairahan atau inisiatif untuk bekerja keras bagi memajukan hidupnya
dan hidup anak-anaknya. Ia seorang suami yang begitu bosan dengan
hidupnya.
3. Isteri diktator
Dia seorang isteri yang gila kuasa. Dia melayani suaminya sebagai
tawanan atau sebagai kanak-kanak yang kecil. Dia mahu semua keputusannya
dipatuhi oleh suaminya dan dia mahu menguasai semua perbelanjaan rumah
tangga. Setiap hari terima gaji dia akan menunggu suaminya di muka pintu
untuk mengambil semua gaji itu dan mengawal semua
perbelanjaan-perbelanjaan suaminya.
Setiap kali suaminya pulang dari luar dia akan memeriksa saku
suaminya dan meminta laporan kemanakah suaminya akan membelanjakan wang
yang diambilnya petang tadi.
Dia bukan saja mengawal perbelanjaan suaminya, malah dia menyoal
setiap gerak-geri suaminya dan tidak silu-silu mengkritik tindak tanduk
suaminya di depan kawannya. Akibatnya si suami itu menjadiseorang yang
tidak berperibadi, lemah dan lumpuh di dalam segala-galanya. Dia menjadi
bahan ketawa kawan-kawannya dan tentulah suami yang seperti itu tidak
mempunyai kesempatan-kesempatan dan dorongan-dorongan yang wajar untuk
hidup dengan lebih maju dari kedudukannya yang ada sekarang.
4. Isteri yang suka campur tangan
Dia seorang isteri yang bercita-cita tinggi, tetapi menyalahgunakan
kedudukan suaminya untuk melaksanakan cita-cita itu. Dia mahu suaminya
naik pangkat dan merasa kewajipan nutuk campur tangan agar suaminya
cepat naik pangkat. Kerana itu dia membuat hubungan-hubungan dengan
isteri ketua pejabat atau isteri majikan suaminya atau membuat hubungan
lansung dengan ketua pejabat atau majikan itu sendiri dengan tujuan
untuk mempengaruhi mereka agar suaminya mendapat kenaikan pangkat. Ia
tidak sedar bahawa campurtangannya itu merosakkan imej suaminya di mata
ketua pajabat atau majikannya dan manimbulkan kebencian pada mereka.
Kadang-kadang hubungan lansungnya dengan ketua pejabat dan majikan itu
menimbulkan tomahan-tomahan yang menjatuhkan maruah suaminya pada
pandangan orang lain.
5. Isteri yang boros
Dia hidup dengan satu anggapan yang salah iaitu tugasnya bukan
mencari duit, tetapi membelanjakan duit. Tugas seorang suami ialah
mencari duit dan sebagai suami yang tahu harga diri dia harus pandai
mencari duit sebanyak yang diperlukan oleh isterinya. Atas anggapan
inilah ia memboroskan pendapatan suaminya dengan membelikan
barang-barang yang mewah dan mahal seperti alat-alat kosmetik,
permaidani, pinggan mangkuk yang tinggi mutunya, dan pelbagai lagi
barang mewah yang tidak diperlukanya.
Suami terpaksa mencari pendapatan dengan mencari kerja-kerja lebih
masa atau melakukan rasuah di pejabatnya untuk membayar bermacam-macam
hutang yang meyerabut kepalanya. Biasanya dia tidak berunding dengan
suaminya semasa hendak membeli sesuatu barang melainkan barang itu sudah
sampai di rumah dan di sana dia akan meletakkan suaminya yang sabar dan
lemah itu di depan kenyataan yang pahit.
Akibatnya suami menjadi begitu lemah dan lumpuh. Jiwanya ditekan
berbagai-bagai kerunsingan yang menjejaskan kecekapan dalam menjalani
tugas-tugas hariannya dan tidak lagi mempunyai
kesempatan-kesempatanuntuk memajukan dirinya.
6. Isteri sosial
Dia seorang isteri yang sentiasa berpakaian cantik. Dianggap kewajipan
utamanya bukan terletak di rumah tangga, malah menghadiri
pertemuan-pertemuan, majlis-majlis keramaian, melawat rumah-rumah teman
dan bergiat dalam berbagai-bagai kegiatan sosial tanpa menghiraukan
rumah tangganya. Dia tidak sempat menghiraukan sarapan pagi untuk
suaminya, kerana ia masih nyenyak tidur akibat balik jauh malam.
Suaminya tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa ikut sama ke
mana-mana majlis yang dihadirinya untuk memperlihatkan keperibadiannya
sebagai seorang suami yang bermaruah.
Untuk memenuhi tuntutan-tuntutan hidupnya yang begitu sosial itu dia
terpaksa berbelanja lebih yang memberatkan suaminya. Kemudian dia
menyeksakan suaminya dengan membandingkannya dengan suami-suami
sahabatnya yang bergaji besar dan mewah dengan tujuan agar suaminya juga
berusaha mencapai taraf hudup seperti itu. Oleh kerana suaminya tidak
mempunyai asas pelajaran yang sama dengan mereka, maka sudah tentu
pemberangsangan itu sia-sia saja, malah membuat suaminya semakin lemah
dan patah semangat dan berakhir dengan kejatuhan-kejatuhan yang
menyedihkan. – melayukini.net