PETALING JAYA: Penyanyi dan pengacara Marsha Milan Londoh tidak
berkecil hati terhadap segelintir pihak yang menuduh dirinya “gedik”.
Menurut wanita berusia 27 tahun ini, dia tidak mahu memikirkan hal
itu sebaliknya lebih selesa memberi tumpuan kepada dunia seni yang
diceburi sejak tujuh tahun lalu itu.
“Kalau hendak diambil kira setiap apa yang orang katakan pada kita,
memang pening jadinya. Saya sedar ramai orang yang memandang remeh akan
kewujudan saya dalam industri.
“Mereka anggap saya hanya tahu buat gedik selain kewujudan saya
dilihat seperti tidak memberikan sumbangan tetapi saya tidak berkecil
hati dan enggan memikirkan perkara itu,” katanya kepada mStar Online,
baru-baru ini.
Pengacara program Propaganza di Astro Ria itu berkata, atas kesedaran
tersebut dia sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu kerjanya agar
dapat meyakinkan khalayak terhadap kebolehannya dalam bidang seni.
“Saya tahu bukan mudah untuk mengikis persepsi orang jika kita sudah
diberikan sesuatu jolokan. Sama juga kesnya dengan saya di mana orang
akan tetap labelkan saya seorang yang gedik walau apa pun saya lakukan.
“Namun, saya berusaha untuk meningkatkan kualiti dalam apa juga kerja
yang diceburi. Saya tidak pernah berputus asa untuk meyakinkan
masyarakat terhadap bakat yang dimiliki dan bukan sekadar berperangai
gedik dan menggoda semata-mata,” jelasnya.
Ditanya mengenai kehidupannya selepas kontroversi tuduhan dia menelan
pil dipercayai bertujuan untuk membunuh diri sebelum ini, Marsha
berkata dia mahu melupakan kisah hitam itu.
“Saya semakin bersemangat selepas lapan bulan kes itu berlalu. Saya
akui kejadian itu benar-benar membuatkan saya tertekan dan trauma tetapi
kini saya sudah stabil.
“Saya berharap agar 2012 akan menjadi tahun yang baik dalam kerjaya
dan kehidupan peribadi. Lagipun, pada tahun ini saya mahu mengeluarkan
beberapa buah lagu dan kerjaya lakonan juga kian berkembang,” tuturnya
mengakhiri perbualan. – Mstar
0 comments:
Post a Comment